A Web portal All About Energy source

Petronas: PETRONAS Labur RM340 Juta Taja 600 Pelajar Cemerlang SPM 2021

32

PETRONAS bakal menaja seramai 600 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di bawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP).



Ini merupakan jumlah tajaan tahunan tertinggi oleh PETRONAS dengan nilai pelaburan melebihi RM340 juta.



Tajaan disampaikan kepada para penerima di Kuala Lumpur pada hari ini oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan disaksikan oleh Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.



Dalam ucapannya, Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri berkata, “Saya menyeru agar kita bersatu padu dan bersama mendokong pendidikan berkualiti untuk anak-anak ‘Keluarga Malaysia’ dalam membangunkan negara kita ke arah masa depan yang mampan. Pendidikan sentiasa menjadi salah satu keutamaan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan kurikulum, inovasi, dan pencapaian akademik serta menekankan keterangkuman melalui rasa hormat dan kasih sayang antara satu sama lain.”



Pada tahun ini, PETRONAS telah menerima lebih daripada 9,000 permohonan tajaan dari seluruh Malaysia. Selain memenuhi prasyarat umum keputusan SPM yang cemerlang dan kokurikulum yang aktif, calon-calon juga telah menjalani proses pemilihan yang ketat serta memberi tumpuan kepada kualiti kepimpinan seperti ketangkasan minda, kemahiran menyelesaikan masalah, dan keupayaan untuk bekerja dalam satu pasukan.



Menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima, Tan Sri Mohd Bakke berkata, “PETRONAS kekal komited untuk terus menyumbang kepada pembinaan negara dan pembangunan bakat tenaga kerja kami melalui pelbagai program dan inisiatif selama lebih empat dekad. Kami percaya bahawa pendidikan berkualiti akan memperkasakan komuniti, seterusnya menyokong pembangunan sosio-ekonomi negara ke arah masa depan yang mampan.”



PETRONAS turut mengumumkan kenaikan Elaun Buku dan Peralatan Belajar serta Elaun Kemasukan kepada semua pelajar.



Selain bantuan kewangan, PESP juga menyediakan program pembangunan khusus untuk merealisasikan potensi penuh pelajar dan memupuk mereka untuk menjadi pemimpin masa hadapan selari dengan perubahan persekitaran pekerjaan yang mengalami perubahan pantas. Ini adalah selaras dengan Agenda Kelestarian PETRONAS dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang memfokuskan kepada penyediaan pendidikan berkualiti kepada belia dan pelajar.



Penerima tajaan bakal melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, geosains, ekonomi, undang-undang serta kursus lain berkaitan industri di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Australia, China, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.



Di bawah PESP, PETRONAS akan menyokong para pelajar bermula daripada pengajian asasi sehingga ijazah sarjana muda pertama.



PETRONAS telah memperluaskan penajaannya yang merangkumi disiplin seperti sains komputer, kejuruteraan perisian dan teknologi maklumat dalam menyediakan bakat serta tenaga kerja bagi landskap Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).



Sejak 1975, lebih 37,000 pelajar cemerlang Malaysia – termasuk 1,720 yang sedang mengikuti program itu – telah mendapat manfaat daripada tajaan bernilai lebih RM3.5 bilion.

Comments are closed.